Biji mata Wan meletup

Zawiyah menunjukkan biji mata kirinya yang dibuang susulan meletup kesan daripada kemalangan pada 2004.

GEMENCHEH – “Biji mata sebelah kiri Wan meletup, air terpancut-pancut mengenai dinding dan lantai rumah.  Sakit biji mata meletup lebih sakit daripada sakit bersalin,” kata Zawiyah Bador, 81, ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Felda Bukit Jalor, dekat sini.

Zawiyah atau lebih mesra dengan panggilan Wan berkata, dalam kejadian tujuh tahun lalu itu, dia dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan menjalani pembedahan bagi membuang biji mata sebelah kirinya yang rosak.

Menurutnya, pada tahun 2004, dia dan arwah suaminya, Yusuf Abdul Raman seperti biasa menaiki motosikal untuk ke masjid bagi menunaikan solat Terawih bersama peneroka lain.

“Bagaimanapun, dalam perjalanan ke masjid, motosikal yang dinaiki kami bertembung dengan sebuah motosikal lain menyebabkan Wan dan arwah suami terjatuh ke atas jalan. Pada masa itu, kepala Wan pecah dan terdapat dua lubang.

“Alhamdulillah umur Wan masih panjang dan Wan dapat menguruskan aktiviti harian seperti biasa. Malah, Wan dapat juga menjaga arwah suami Wan yang sakit sehingga hujung hayatnya sekitar tujuh tahun lalu,” katanya.

Zawiyah berkata, tidak lama selepas suaminya meninggal, dia berhadapan dengan kesakitan yang teruk apabila biji matanya tiba-tiba meletup semasa dia berada di dalam rumah.

“Mujur, ada anak dan cucu yang membantu Wan ketika itu. Ikutkan Wan takut juga biji mata Wan dibuang tetapi pakar perubatan menasihatkan Wan untuk membuang biji mata berkenaan demi keselamatan Wan.

“Jadi nak tak nak Wan harus mengikut nasihat pakar berkenaan dan Wan sentiasa mengingatkan diri Wan untuk sering menjalankan pelbagai aktiviti walaupun sebelah mata sudah dibuang selain diserang strok sebanyak tiga kali," katanya.

Katanya, semangatnya untuk sihat demi anaknya yang merupakan ibu tunggal dan cucu-cucu yang menetap di rumahnya begitu menebal.

“Wan ada sembilan anak, masing-masing sangat membantu Wan dan mereka juga tidak lokek apabila pulang ke rumah bagi membantu keluarga adik bongsu mereka yang tinggal bersama Wan.

"Walaupun masing-masing sudah mempunyai tanggungan, mereka tetap menghulurkan bantuan mengikut kemampuan," katanya.

Guna mata hasilkan lukisan



  • Guna mata hasilkan lukisanGranato guna teknik seperti ini untuk melukis.
BUENOS AIRES - ARGENTINA. Artis muda dari Argentina ini menggunakan teknik berbeza dan lebih kreatif untuk menghasilkan lukisan abstrak.

Leandro Granato, 27, menggunakan warna air yang dipercikkan hasil tindak balas hidung dan matanya ke atas kanvas lukisan.

"Saya mula mengaplikasikan teknik ini sejak kecil. Bagaimanapun, lama-kelamaan saya mula selesa dengan bakat luar biasa ini," katanya.

Menurut Granato, dia mengambil masa selama dua tahun mencipta formula khas warna air yang tidak akan merosakkan matanya.

Difahamkan, dia mula terlibat dalam dunia seni lukis selepas datuknya meninggal dunia akibat barah.

"Saya mula melukis untuk melupakan kesedihan akibat pemergian datuk. Ketika itu, saya menjadikan pelukis abstrak warga Amerika, Jackson Pollock sebagai sumber inspirasi," jelasnya.

Pelukis berbakat ini memberitahu lukisan yang dijual pada harga 1,500 pound (RM7,800) itu mampu dihasilkan dalam masa paling singkat iaitu 10 minit dan ada yang perlu mengambil masa selama beberapa bulan.

Pada masa hadapan, Granato berhasrat untuk melakukan pameran amal untuk membantu kanak-kanak yang menghidapi barah di Argentina, laporan dipetik dari DailyMail.