
KUALA LUMPUR – Agensi Angkasa Negara (AAN) memaklumkan langit Malaysia akan diterangi dengan juraian hujan meteor Geminids bermula 13 hingga 17 Disember ini.
Unit Komunikasi Korporat AAN dalam satu kenyataan media memberitahu, dianggarkan sebanyak 120 juraian meteor sejam dapat dilihat pada waktu kemuncak iaitu bermula dari awal pagi 13 hingga 14 Disember ini.
“Titik meteor Geminids ini adalah daripada buruj Gemini yang berada di langit Malaysia sejak September hingga April tahun hadapan. Pada tahun ini imjenya tidak begitu baik kerana waktu kemunculannya sama dengan fasa Bulan hampir purnama (91 peratus penuh).
“Kepada yang berminat untuk menyaksikan sendiri hujan meteor ini, pandang ke arah timur laut selepas waktu tengah malam hingga subuh di kawasan yang lapang dan gelap,” kata kenyataan itu hari ini.
Bagaimanapun, kata kenyataan itu, disebabkan keadaan cerah langit oleh cahaya bulan, ia akan menghadkan kenampakan meteor kepada 50 hingga 80 meteor sejam.
AAN dalam pada itu orang ramai turut berpeluang menyaksikan planet Musytari, Marikh, Buruj Belatik, Taurus, Gemini, Cassiopeia, Pegasus, Canis Major, Leo, Virgo, dan Gugusan Bintang 7 (Pleiades) dengan mata kasar pada waktu tersebut.
“Kepada mereka yang mempunyai teleskop, anda boleh menyaksikan Great Orion Nebula. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Planetarium Negara di talian 03-2273 4303/4301,” kata kenyataan itu.
Posting Komentar